ROME 18 Mei- Rafael Nadal tidak berdepan masalah melangkah ke suku akhir apabila mudah menewaskan pemain muda Kanada, Denis Shapovalov dengan kemenangan 6-4, 6-1 di tenis Terbuka Itali pagi tadi.
Nadal,31, akan berdepan pemain tuan rumah, Fabio Fognini di peringkat lapan terbaik dan bakal merampas ranking nombor satu dunia daripada Roger Federer jika memenangi gelaran kelapan di Rome, minggu ini.
“Ia satu perlawanan yang serba lengkap. Saya bermula dengan sedikit kesilapan tetapi ketika memegang servis, saya tidak melepaskan sebarang mata,” katanya.
Sementara itu, Novak Djokovic juga kembali bangkit apabila melangkah ke suku akhir buat pertama kali pada musim ini, sejak Wimbledon Julai 2017 apabila menang ke atas pemain Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas 6-1, 7-5.
Juara Rome empat kali itu kembali bangkit selepas enam bulan bergelut dengan kecederaan sebelum Terbuka Australia, diikuti pembedahan di bahagian siku.
“Saya merasa bagus, Saya mempunyai sejarah manis beraksi di Rome dan kali ini, ia semakin baik pada setiap perlawanan,” katanya yang bakal berdepan pemain Jepun, Kei Nishikori untuk melangkah ke separuh akhir. – AFP











