Mercedes bakal ikut jejak Ferrari - Utusan Malaysia

Mercedes bakal ikut jejak Ferrari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Selepas Ferrari memberi ancaman untuk meninggalkan perlumbaan Formula Satu (F1), kini Mercedes turut menyatakan niat yang sama selepas tidak ber­puas hati dengan peraturan baharu yang ditetapkan oleh pemilik baharu F1, Liberty Media.

Pengerusi bukan eksekutif Mercedes, Niki Lauda berkata, pihaknya akan mengambil langkah yang sama seperti Ferrari sekiranya peraturan baharu tersebut tidak memberi manfaat kepada mereka untuk meneruskan saingan perlumbaan F1.

Ferrari sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak­nya serius untuk ‘angkat kaki’ daripada F1 pada musim 2020/21 sekiranya perubahan yang dilakukan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Liberty Media tidak sejajar dengan kehendak mereka.

Liberty Media sebelum ini menjelaskan, mereka akan menetapkan bajet sama rata bagi mengurangkan jurang antara pasukan besar dan kecil.

Selain itu, pemilik baharu F1 tersebut turut mengehadkan bajet untuk pembangunan enjin yang lebih murah berbanding perlumbaan musim ini selain turut mengurangkan hadiah kemenangan menjelang perlumbaan 2021.

“Peraturan baharu yang diperkenalkan FIA dan Liberty Media bagi saya tidak masuk akal, malah mengehadkan kemampuan pasukan terbaik ketika ini. Tindakan seperti ini akan menyebabkan beberapa pasukan akan keluar daripada menyertai saingan ini.

“Liberty Media seharusnya melakukan penyelidikan dan perbincangan secara menyeluruh dengan semua pasukan.

“Sekiranya ia tidak memberi manfaatkan, ia pasti menjejaskan saingan dan prestij sukan F1 itu sendiri. Pasti perlumbaan selepas ini tidak lagi menarik untuk ditonton,” katanya.

Beberapa peraturan 2021 te­lah pun digunakan pada musim ini antaranya penggunaan sistem keselamatan kokpit Halo dan pemansuhan penggunaan gadis litar sebelum perlumbaan berlangsung.

“Sistem Halo yang dipraktikkan dalam saingan musim ini adalah paling teruk pernah saya lihat. Ia juga memberi tekanan kepada semua pasukan untuk menggunakan penghadang ke­selamatan tersebut,” ujar Lauda. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN