MISI Kembara Amal Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Balar pada 13 hingga 15 April 2018 bukan sahaja dapat dicapai, malah berjaya mengumpul dana sebanyak RM12,142 daripada Pertubuhan Bekas Pelajar SMAP Labu (Scolobu, 1995-1999) dan masyarakat umum.
Selain itu, barangan keperluan penduduk diterima daripada Yayasan Sultanah Bahiyah. Menerusi Projek Beg Sekolah pula, sebanyak 250 beg diagihkan kepada murid di sekolah tersebut.
Kerja amal anjuran bersama Scolobu dan Sedim Outdoor Specialist itu disertai 25 sukarelawan. Kesemua mereka begitu komited dan dedikasi dalam menyempurnakan misi sepanjang tiga hari.
Wakil Scolobu, Hairul Anuar Hashami, berkata, misi yang dirancang disempurnakan dalam tempoh 12 jam, tidak termasuk waktu perjalanan ke Pos Balar.
“Masa kami di Pos Balar agak singkat disebabkan masalah teknikal ketika kami memulakan perjalanan dari Simpang Pulai,” katanya kepada S2.
Menurutnya, mereka meninggalkan Simpang Pulai pada pukul 2 pagi menuju Masjid Keputeraan di Lojing, Kelantan.
“Sekitar pukul 3.14 pagi, konvoi terpaksa berhenti di Cameron Highlands kerana salah sebuah kenderaan menghadapi masalah.
“Kami tiba di masjid tersebut pada pukul 4 pagi dan usai solat subuh berjemaah, pasukan Sedim Outdoor cuba membaiki Jeep yang rosak tadi sehingga awal petang.
“Disebabkan tiada alat ganti, Jeep itu terpaksa ditinggalkan di parkir masjid,” katanya sambil memberitahu hanya lapan buah jentera masuk ke Pos Balar.
Sebaik selesai solat Jumaat, konvoi meneruskan perjalanan. Namun, masalah lain pula muncul apabila seorang sukarelawan ternampak ada minyak menitis keluar dari bahagian bawah salah sebuah kenderaan konvoi.
“Kalau tak silap saya, minyak auto. Masalah ini menyebabkan perjalanan tertunda selama kira-kira satu jam setengah,” katanya.
Masalah itu hanya dapat diselesaikan pada pukul 3.30 petang dan perjalanan diteruskan menuju ke Kuala Betis.
“Kami tiba ketika azan Asar berkumandang. Peserta diberi masa 30 minit untuk makan tengah hari.
“Tepat pukul 6.30 petang, barulah kami dapat menyambung semula perjalanan. Satu waktu yang sudah agak lewat untuk masuk ke kawasan hutan. Dari jalan utama, kami menempuh perkampungan Melayu, beberapa kampung Orang Asli dan ladang rakyat yang sangat luas. Untuk melepasi kawasan ladang rakyat itu sahaja, mengambil masa lebih kurang satu jam.
Laluan di kawasan ladang tidak begitu mencabar kerana sudah diratakan. Cuma, debu tebal memberikan sedikit cabaran buat pemandu.
Ada masanya jarak penglihatan menjadi sifar. Justeru, pemandu berhati-hati supaya tidak terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan. Ada masanya, pemandu perlu peka dengan gaung yang menanti di hadapan dan di tepi laluan. Silap percaturan boleh terlajak ke dalam gaung.
“Kami juga menyeberangi sebatang sungai yang mana terdapat rumah kongsi pekerja balak di tepinya. Ketika matahari mula menghilangkan diri di sebalik bukit-bukau di sebelah timur, kami berhenti seketika di salah satu puncak bukit untuk menikmati pemandangan indah matahari terbenam.
“Tetapi sebab utama kami berhenti adalah untuk memastikan sama ada laluan kami ke Pos Balar betul atau tersasar. Nasib baik ada pekerja ladang dan pemandu lori balak memaklumkan kepada kami bahawa laluan yang kami ikut itu adalah betul,” katanya.
Perjalanan diteruskan dan kali ini, laluan sangat mencabar. Tiada lagi laluan rata. Suasana sekitar gelap gelita. Di kiri dan kanan jalan, hanya ada pokok-pokok hutan menjulang tinggi. Yang menerangi laluan kami adalah lampu limpah dari setiap kenderaan konvoi.
Ketika inilah, komunikasi radio memainkan peranan. Yang di hadapan akan maklumkan halangan kepada kenderaan di belakang. Seronok juga mendengar cara mereka berkomunikasi dengan radio.
Sesekali konvoi terpaksa berhenti apabila tiba di laluan berisiko tinggi. Isyarat tangan, suara dan lampu digunakan untuk menghala pemandu ke laluan yang selamat.
Pada satu ketika, Zul Kepli Mat memaklumkan tayar kenderaannya pancit. Sebahagian konvoi berhenti bagi membolehkan Zul mengepam tayar. Mujur dia bawa pam elektronik. Begitu pun, angin tidak bertahan lama dan terpaksa beberapa kali dipam.
“Sebelum tiba di SK Pos Balar, sebanyak tiga kali konvoi berhenti bagi membolehkan Zul mengepam tayar. Selepas beberapa halangan yang mendebarkan, kami akhirnya tiba di Pos Balar pada pukul 11 malam,” katanya.










