PUTATAN 19 Mei – Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan melupakan wakil rakyat dari negeri Sabah untuk dilantik menjadi menteri di peringkat pusat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Uda Sulai berkata, akan ada Ahli Parlimen daripada Parti Warisan yang akan dilantik untuk mewakili negeri Sabah dalam menerajui kepimpinan di peringkat kerajaan pusat.
“Saya yakin bahawa Dr. Mahathir tidak akan melupakan Sabah dan akan melantik menteri yang bertanggungjawab daripada negeri ini khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen Warisan yang menang.
“Pada saya perkara ini tiada masalah kerana kerajaan dahulu tidak pernah mengabaikan rakyat Sabah, malah banyak menteri yang dilantik adalah dari negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis Perasmian Tadau Kaamatan Kanadaru 2018 di sini hari ini.
Yang turut hadir Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.
Dalam pada itu, Uda yang juga Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri berkata, pelantikan menteri daripada wakil Sabah dilihat perlu bagi menyelesaikan beberapa isu penting yang melibatkan kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.
“Pada kali ini, kalau boleh kita mahu memohon lebih ramai wakil rakyat daripada Sabah menjadi menteri kerana banyak masalah perlu diatasi di peringkat pusat.
“Bagaimanapun bagi pengumuman peringkat pertama barisan Kabinet masih tidak ada wakil daripada Sabah, tetapi akan ada dalam pengumuman peringkat kedua nanti,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kementerian yang baharu diwujudkan, beliau berkata, ia merupakan langkah tepat kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu penting yang melibatkan adat istiadat anak negeri.
“Banyak perkara yang harus diketengahkan dengan melihat kepada masalah bumiputera termasuk melibatkan isu pentadbiran tanah, tanah adat, mahkamah selia dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











