MELAKA – Kerajaan negeri Melaka memansuhkan enam jabatan dan unit di bawah Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) bagi mengelakkan pertindihan fungsi dan peranan selain mengkaji semula status serta keperluan dua lagi agensi berkuat kuasa esok.
![]() |
|
Adly Zahari
|
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, agensi yang dimansuhkan ialah Bahagian Sahabat Belia (BSB), Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB), Majlis Perundingan Ekonomi Negeri (MAPEN), Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Bahagian Khidmat Masyarakat (BKM) dan Jabatan Landskap Negeri.
“Misalnya, BSB mempunyai fungsi bertindih dengan Jabatan Belia dan Sukan, manakala BKM pula dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bagi UPEB dan MAPEN, fungsinya akan diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), MKJR di bawah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, manakala Jabatan Landskap Negeri akan diselaraskan oleh Unit Kerajaan Tempatan JKMM,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau berkata, dua lagi agensi iaitu Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan DMDI International Education Sdn. Bhd. akan melalui kajian semula mengenai peranan dan keperluannya kepada masyarakat serta pembangunan negeri. – Bernama











