SEREMBAN 13 Mei – Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan semua peralatan yang dibawa keluar dari balai raya, pejabat Kemas dan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dipulangkan serta-merta.
Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, pihaknya menerima aduan barangan seperti kerusi, meja dan penghawa dingin telah dibawa keluar oleh pihak tertentu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu lalu.
Katanya, kejadian itu dilaporkan berlaku di beberapa tempat di Labu, Ampangan, Seremban Jaya, Port Dickson dan Rembau.
“Perbuatan ini adalah sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak premis ini menempatkan tadika.
“Kerajaan negeri beri tempoh 24 jam (mulai pukul 10 pagi ini) supaya semua barang-barang ini dipulangkan dalam keadaan baik dan dipasang semula,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri di sini hari ini.
Tambahnya, laporan polis akan dibuat sekiranya pihak yang bertanggungjawab gagal mematuhi arahan itu.
Beliau berkata, semua barangan itu adalah aset milik kerajaan dan perbuatan membawa ia keluar adalah satu kesalahan jenayah. – UTUSAN ONLINE








