KOTA KINABALU 25 Mei – Misteri bau busuk di bilik sewa di tingkat dua sebuah bangunan di Lorong Sinsuran, di sini akhirnya terjawab selepas penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput.
Mayat tersebut ditemukan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang terhidu bau berkenaan dari luar bilik tersebut kira-kira pukul 5.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, mangsa dikenali R. Vasudevan, 57, dipercayai meninggal dunia sejak tiga hari lalu.
Berita berkaitan:
“Pihak polis telah terima panggilan daripada pengadu yang turut menyewa bilik di bangunan berkenaan mengenai bau busuk itu dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi. Pemeriksaan menemukan mayat mangsa terbaring di atas lantai dalam keadaan hampir reput dan berbau.
“Pemeriksaan lanjut tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan tiada kecederaan pada mayat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chandra menambah, mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1, di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











