Telah dapat ku pastikan
betapa mahligai keyakinan itu
sentiasa berada di atas lapisan timbunan harapan
di penghujung hayat sebuah perjalanan
bagai diadaptasikan dengan warna-warna pilihan cinta
dari sebuah lukisan – menggamit kemesraan
berlambangkan kasta kasih sejati…
begitu kuat mendakap purnama tanpa gerhana
dengan neraca janji penuh setia – dari kata yang dikota
walau sesekali senja datang bersama dan menggoda.
Namun,
dapat jua ku kutip bunga-bunga rindu
yang luruh di atas hamparan permaidani mahligai nostalgia ini persis telah ku miliki sebuah ‘titian hasrat’
dengan janji yang telah ku lunasi
sebelum menyeberang ke destinasinya
sebagai seorang insan.
Sebenarnya
mahligai keyakinan ini
dibina dengan sesinar cahaya daripada lembah harapan
bersama titisan keringat luhur anak watan jua
sehingga wujud sebuah negara bangsa
yang akan sentiasa terpelihara untuk selama-lamanya.
DIYAODIN HJ.SHAARI
Ayer Hitam, Kedah











