KUALA TERENGGANU 31 Mei – Terengganu akan turut mengikut jejak tradisi tahunan kerajaan Pas Kelantan dengan menganjurkan program Madinah Ramadan mulai petang esok di kawasan rekreasi Dataran Shahbandar di sini.
Program yang akan mewarnai kemeriahan suasana setiap petang dan malam di kawasan itu sehingga akhir Ramadan akan dipenuhi dengan kegiatan untuk seisi keluarga bercorak rekreasi, keilmuan selain ibadat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ia adalah bagi mengingati kefarduan puasa secara khususnya dihayati oleh Nabi Muhammad S.A.W bersama umat Islam Madinah.
“Madinah melahirkan masyarakat yang bersatu, hidup dengan ilmu, yang hidup dengan ibadah. Di atas pengasasan Madinah ini, kita cuba menghayati apa yang telah dilakukan dengan mengerakkan program ‘Madinah Ramadan,”ujarnya di sini baru-baru ini.
Antara acara yang diatur selama 12 hari itu ialah berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjamaah serta solat tarawih bersama imam dari luar negara.
“Selain itu, ada pengisian lain termasuk tazkirah, bicara ilmu, fiqh wanita, santai bersama Mat Motor, ceramah Badr al-Kubra dan Nuzul Quran,” ujarnya.
Menurut beliau, antara penceramah terkemuka yang dijemput ialah Ahli Exco Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud dan Ahli Palimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Program tersebut juga tambahnya, memberi kemudahan kepada para pengunjung mengisi waktu luang selepas membeli-belah atau riadah di muara, dan peniaga Bazar Ramadan untuk berbuka puasa di sini, seterusnya menunai solat.
“Saya menyeru orang ramai termasuk pelancong merasai Ramadan di sini . Bawalah keluarga bersama dan berbuka puasa di sini. Makanan akan disediakan,”ujarnya. – UTUSAN ONLINE









