SEPANG 30 Mei – Seorang lelaki bertindak nekad dengan menikam lima lelaki kerana tidak berpuas hati dengan sikap jiran sebelah rumahnya itu yang gemar membuat bising pada waktu malam di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu suspek tersebut sebelum itu telah menegur mangsa supaya tidak membuat bising.
Bagaimanapun, teguran suspek tersebut tidak diendahkan sehingga menyebabkannya hilang sabar dan menikam semua mangsa tersebut.
“Suspek juga telah menegur supaya kawan-kawan jirannya itu supaya balik tetapi tidak diendahkan.
“Suspek rasa tercabar dengan kelakuan dan sikap jiran sebelah yang membunyikan ekzos motosikal pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Aziz berkata, suspek yang berang telah mengambil pisau di rumahnya sebelum pergi ke rumah mangsa dan menikam kesemua mangsa.
Menurut Abdul Aziz, suspek kemudian melarikan diri selepas melakukan perbuatan tersebut manakala kelima-lima mangsa tersebut dihantar ke Hospital Serdang dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.-UTUSAN ONLINE










