PAHOA, Hawaii; Satu letupan besar dari gunung berapi Kilauea di Hawaii kelmarin menandakan permulaan letusan lebih kuat dan ganas yang boleh menghamburkan batu dan debu sejauh beberapa kilometer dan mengakibatkan bandar-bandar berdekatan dilitupi abu vulkanik dan jerebu, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Kilauea yang merupakan gunung berapi paling aktif di Hawaii meletus pada Khamis lalu, manakala satu gempa bumi kuat menggegarkan kawahnya pada keesokan harinya.
Aliran lahar daripada rekahan-rekahan tanah memusnahkan sekurang-kurangnya 36 kediaman dan bangunan lain dengan kira-kira 2,000 penduduk berpindah.
USGS memberi amaran bahawa letusan lebih kuat dari kawah gunung berapi itu boleh berlaku pada pertengahan Mei ini yang akan menghamburkan batu-batu seberat beberapa tan pada jarak satu kilometer (km) dan bahan pepejal kecil sejauh beberapa km serta melitupi kawasan dalam radius 32km dengan abu.
“Letusan kuat ini adalah yang pertama sebelum lebih banyak letusan serupa menyusul,” kata saintis USGS, Tina Neal kelmarin mengenai letusan yang menghamburkan batu-batu kecil dari kawah gunung berapi itu.
Dalam pada itu, bandar Hilo yang terletak kira-kira 40km ke timur laut Kilauea di Pulau Besar, Hawaii dan Kampung Pahoa yang berada 39km ke timur gunung berapi itu berisiko terdedah kepada pencemaran udara vulkanik, katanya. – Reuters










