BUENOS AIRES – Seorang lelaki telah menghabiskan lebih AS$60,000 (RM238,000) bagi beberapa siri pembedahan plastik untuk mengubah wajahnya menjadi makhluk kacukan antara ‘elf’ dan ‘alien’ yang dikenali sebagai Pleiadian.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Luis Padron, 26, telah menjalani kira-kira 40 pembedahan termasuk menukar warna mata sebanyak enam kali, dua kali pembedahan hidung dan memotong sebahagian rahang bagi menjadikan wajah runcing seperti watak anime, manakala telinganya pula dibentuk semula agar tajam seperti elf.
Lelaki yang turut menghabiskan masa selama dua jam setiap hari untuk berdandan itu memberitahu, dia merancang untuk melakukan pembedahan tambahan bagi membuang halkum, memasang gigi taring dan membentuk mata seperti kucing.
Lelaki yang turut mendapat gelaran putera plastik itu berkata, dia telah menghabiskan lebih sepuluh tahun untuk mengubah wajah menjadi seperti watak fantasi Pleiadian yang pertama kali dibacanya sewaktu masih remaja.
Pengalaman sering dibuli sejak kanak-kanak kerana mewarnakan rambut menjadi biru dan gemar memakai pakaian ranggi menyebabkan Padron berasakan keputusannya mengubah wajah seakan-akan makhluk elf memberi lebih keyakinan kepadanya. – Agensi










