BUKIT MERTAJAM 22 Mei – Seorang lelaki ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BRV milik seorang jurutera di Taman Machang Manis dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, suspek yang berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Gajah Mati Machang Bubok lewat malam tadi oleh sepasukan anggota polis.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa meletakkan SUV itu dalam keadaan berkunci di rumahnya sehari sebelum itu sebelum ia didapati hilang ketika ingin keluar bekerja pagi semalam.
“Pihak polis yang menerima laporan daripada mangsa menjalankan operasi di sekitar kawasan itu sebelum menerima maklumat berkaitan kenderaan itu yang ditemukan berada di tepi rumah yang didiami suspek.
“Suspek yang memiliki rekod jenayah berkaitan dadah kini ditahan sementara mendapatkan perintah reman untuk disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Ros Azhan memaklumkan, polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal dalam satu rondaan di Jalan Rozhan dekat sini pukul 9.30 malam tadi.
Jelasnya, ketika ditahan lelaki itu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sedang menunggang motosikal jenis Sym yang tiada nombor pendaftaran depan dan belakang
dalam keadaan mencurigakan.
“Semakan ke atas nombor casis dan nombor enjin motosikal itu mendapati ia ada kaitan dengan satu laporan kehilangan motosikal di Machang Bubok.
“Polis kemudiannya merampas motosikal dan menahan lelaki itu yang beralamat di Taman Seri Janggus untuk siasatan di bawah Seksyen 379 a Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











