KUALA LUMPUR 18 Mei – Laporan-laporan polis yang dibuat kerana menghina Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam media sosial adalah bertentangan dengan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memegang prinsip kebebasan bersuara.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, selain amalan itu perlu dihentikan segera, laporan-laporan polis hanya akan mewujudkan satu budaya menakut-nakutkan di mana kerajaan sedia amat tidak mahu ia berlaku.
Bekas Pengerusi Bersih 2.0 itu berkata, hak kebebasan bersuara telah dinyatakan dengan jelas dalam manifesto PH dan ini merupakan masanya pandangan seseorang dihormati di negara ini.
“Dalam manifesto PH turut dinyatakan dengan jelas bahawa kerajaan ini berhasrat untuk memansuhkan peruntukan akta seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang disifatkan menindas,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











