Lahar gunung Kilauea masuk ke laut - Utusan Malaysia

Lahar gunung Kilauea masuk ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONOLULU 23 Mei – Lahar dan batu dari Gunung Berapi Kilauea kini memasuki kawasan laut sekali gus membahayakan orang ramai yang menjalankan aktiviti di laut.

Ahli geologi memberi ama­ran, lahar dari gunung itu yang memasuki kawasan hutan turut mengeluarkan gas toksik berbahaya iaitu meta­na pada paras tertinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Gunung berkenaan yang meletus sejak 19 hari lalu tidak menunjukkan sebarang tanda akan reda malah berulang kali menghamburkan lahar sehingga setinggi 50 meter dari celah rekahan.

Semalam, lahar gunung itu bergerak ke loji kuasa geoterma selepas memusnahkan sebuah gudang lama dekat kawasan berkenaan.

Para pekerja di Puna Geothermal Venture, loji yang menyalurkan 25 peratus kuasa elektrik di Big Island, Hawaii, bertungkus-lumus menutup tiga telaga tekanan bagi mengurangkan risiko pelepasan gas toksik jika di­limpahi lahar.

Ini merupakan cabaran terbaharu pihak berkuasa dalam menangani letusan serentak Kilauea dan dari rekahan yang tidak pernah berlaku di bahagian timur gunung itu.

“Rekahan dekat Puna Geothermal Venture sedang aktif dan mengeluarkan lahar perlahan-lahan serta menutupi kawasan tersebut,” lapor Jabatan Pertahanan Awam.

Menurut laporan itu, aktiviti gunung tersebut telah memusnahkan gudang lama berkenaan iaitu kawasan Projek Geoterma Hawaii.

Letupan Kilauea pada pu­kul 3.45 pagi turut menghamburkan debu setinggi 2,438 meter ke Big Island.

Kawasan kediaman pendu­duk di bahagian barat daya gunung itu turut diliputi debu, lapor ahli kaji cuaca Per­khidmatan Cuaca Negara, John Bravender.

Kata beliau, setiap hari sebanyak 15,000 tan sulfur dioksida dihambur dari hampir 24 rekahan pada sebelah timur gunung itu. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN