Kotak, beg berisi wang tunai 
dibawa ke Bank Negara - Utusan Malaysia

Kotak, beg berisi wang tunai 
dibawa ke Bank Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mei – Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman hari ini selesai mengira semua wang yang dirampas dari unit kondominium Pavilion Residences di Jalan Raja Chulan di sini, minggu lepas.

Anggota polis membawa keluar beg dan kotak berisi wang tunai yang dirampas dari kondominium Pavilion Residences minggu lepas ke Bank Negara Malaysia, semalam. BERNAMA

Sumber berkata, wang itu yang diisi di dalam beberapa kotak dan beg kemudian dibawa ke Bank Negara Malaysia (BNM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, proses pengiraan wang tunai itu, yang dipercayai bernilai lebih RM10 juta, dilakukan di pejabat JSJK de­ngan bantuan agensi lain terma­suk BNM pada kira-kira pukul 4 petang ini sebelum dibawa keluar dari premis itu pada pukul 5.45 petang.

“Pasukan berkenaan juga melakukan pengiraan barangan lain yang dirampas termasuk barangan kemas,” kata sumber itu hari ini.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika ditemui pemberita di sini mengesahkan tentang pemindahan beg dan kotak berkenaan dari pejabat JSJK, namun enggan memberi­tahu jumlah sebenar wang tunai terbabit.

“Semua beg dan kotak yang berisi wang tunai ini akan dibawa ke Bank Negara Malaysia,” kata­nya.

Difahamkan, kesemua bara­ngan tersebut dibawa keluar dari pejabat itu dengan kawalan ketat Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM untuk dihantar ke BNM bagi tindakan lanjut.

Tinjauan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini yang menempatkan pejabat JSJK Bukit Aman mendapati seorang individu membawa keluar mesin mengira wang dari bangunan itu pada pukul 3.50 petang.

Puluhan pengamal media turut berkumpul di kawasan pekarangan lobi bangunan berkenaan bagi mendapatkan perkemba­ngan terkini kes itu.

Jumaat lepas, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga dari kondominium mewah itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Amar Singh berkata, seba­nyak 284 kotak yang mengandu­ngi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kondominium itu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN