Konsert sulung Faizal Tahir 3 November di Axiata Arena - Utusan Malaysia

Konsert sulung Faizal Tahir 3 November di Axiata Arena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Lama menyimpan hasrat mengadakan konsert solo besar-besaran, impian penyanyi Faizal Tahir akan terlaksana apabila konsert sulungnya akan diadakan pada 3 November tahun ini di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

Menurut Faizal atau nama sebenarnya, Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 39, berkata, selepas beberapa kali berbincang dengan pihak pengurusan Warner Music Malaysia, dia teruja untuk menghiburkan para peminatnya menerusi konsert itu. 

“Akhirnya impian mengadakan konsert bakal menjadi kenyataan selepas beberapa kali ditangguhkan. Banyak persediaan dari segi mental dan fizikal harus dilakukan demi kepuasan peminat. 

“Untuk konsert itu nanti, saya mahu persembahan membuatkan peminat terbuai-buai ketika menyanyikan lagu balada dan menari ketika lagu rancak didendangkan. Penaja konsert itu nanti adalah Starplanet,” ujar Faizal kepada Kosmo! pada sidang akhbar kempen Terima Kasih Media Prima di sini sebentar tadi. 

Katanya lagi, dia juga berhasrat untuk menjemput penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk membuat persembahan pada konsert itu nanti. 

“Mungkin beliau (Siti) akan menyanyi bersama saya menyanyikan lagu Cinta Dirgahayu. Itu yang saya rancang dan saya berharap beliau bersedia menerima jemputan saya,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Faizal menghasilkan sebuah dokumentari muzik menerusi lagu ciptaannya, Starfeather yang turut diangkat sebagai lagu tema kempen Terima Kasih tahun ini. 

“Lagu Starfeather saya dapat inspirasi ketika misi kemanusian saya di Bangladesh dua bulan lepas. Di sana saya banyak menghabiskan masa dengan masyarakat Rohingya,” ujar Faizal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×