MALAYSIA baru sahaja selesai melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.
Hampir 79 peratus rakyat di negara ini telah melaksanakan tanggungjawab mereka.
Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), rakyat di negara ini memberi mandat yang penuh kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Berita berkaitan:
Walaupun berlaku pertikaman lidah antara parti yang terlibat pada PRU-14, transisi peralihan antara Barisan Nasional (BN) kepada PH berjalan dengan lancar tanpa sebarang konflik.
Ia menunjukkan rakyat di negara ini amat profesional dan berdisiplin dalam berpolitik.
Memang tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai fahaman politik dalam kalangan rakyat.
Bagaimanapun, masyarakat tidak menjadikan perbezaan itu sebagai asas untuk terus bertelingkah terutamanya selepas keputusan PRU-14 diumumkan oleh pihak SPR.
Seluruh rakyat Malaysia sewajarnya memberi komitmen penuh kepada kerajaan yang baru dilantik supaya mampu merealisasikan matlamat mereka.
Terdapat tiga sebab utama mengapa rakyat perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan baharu itu.
Kerajaan PH adalah pilihan rakyat
Dalam sistem demokrasi, sesebuah kerajaan akan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya yang diadakan.
Dalam konteks negara Malaysia, pilihan raya untuk memilih kerajaan akan diadakan setiap empat atau lima tahun sekali.
Kerajaan yang baru dilantik ini adalah kerajaan yang sah dan seluruh rakyat Malaysia seharusnya menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat.
Oleh yang demikian, walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza sebelum ini, rakyat harus bersama-sama dengan pimpinan baharu untuk membawa Malaysia ke arah kecemerlangan.
Sekiranya perbezaan politik yang membuatkan rakyat enggan bersama-sama, ia akan menyebabkan kerajaan dalam keadaan sukar untuk merealisasikan agenda yang dijanjikan.
Oleh yang demikian, rakyat seharusnya memberi peluang dan berganding bahu dengan pihak kerajaan bagi membawa negara ke arah kebaikan bersama.
Kebajikan dan kemakmuran rakyat
Berdasarkan kepada manifesto kerajaan yang dipilih selepas PRU-14 yang lalu, pihak kerajaan amat serius untuk menjadikan rakyat dan negara lebih maju.
Terdapat pelbagai inisiatif yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan PH untuk memastikan kebajikan dan kemakmuran rakyat dapat dicapai.
Antaranya, penurunan harga rumah, pembatalan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta penstabilan harga minyak.
Tiga perkara ini merupakan agenda penting untuk memberi kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat.
Perubahan ke arah kebaikan
Adalah menjadi satu kebiasaan kepada sesebuah masyarakat untuk merasai kesukaran atau penolakan apabila berlakunya sesuatu perubahan.
Namun, masyarakat juga perlu sedar bahawa jika sesuatu perubahan dilakukan untuk tujuan kebaikan, ia harus diberi sokongan dan galakkan.
Perubahan yang dicadangkan oleh pihak kerajaan yang baru dipilih ini merupakan satu perubahan ke arah yang lebih baik.
Pastinya rakyat mahukan harga rumah yang lebih rendah dan harga minyak yang lebih stabil.
Oleh yang demikian, seluruh rakyat Malaysia seharusnya bersatu untuk memberi sokongan kepada kerajaan pada hari ini bagi membolehkan mereka mencapai matlamat tersebut.
Sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada sistem demokrasi, kita wajar memberi sokongan padu kepada kerajaan yang dipilih tanpa mengira fahaman politik yang dimiliki sebelum PRU-14.
Komitmen dan sokongan padu daripada seluruh rakyat adalah amat penting kepada kerajaan PH yang baru dilantik untuk merealisasikan segala apa yang dirancang bagi kemakmuran rakyat serta negara.
Rumusan
PRU-14 berakhir dengan penuh keharmonian dan keamanan. Berdasarkan kepada keputusan itu, masyarakat Malaysia telah memberi mandat yang sepenuhnya kepada kerajaan PH untuk mentadbir negara selama lima tahun.
Sebagai rakyat Malaysia yang percaya kepada sistem demokrasi, kita wajar memberi sokongan padu kepada kerajaan yang dipilih tanpa mengira fahaman politik yang dimiliki sebelum PRU-14.
Komitmen dan sokongan padu daripada seluruh rakyat adalah amat penting kepada kerajaan PH yang baru dilantik untuk memastikan kerajaan ini mampu mencapai dan merealisasikan segala apa yang dirancang bagi kebajikan serta kemakmuran rakyat dan negara.











