Kematian anak dapat pembelaan - Utusan Malaysia

Kematian anak dapat pembelaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU – Penderitaan pasangan guru yang kehilangan anak bongsu mereka lima tahun lalu akibat kecuaian berakhir selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan 11 defendan termasuk dua pengarah hospital dan lapan doktor membayar ganti rugi RM896,792.13 kepada plaintif.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz sewaktu membacakan penghakiman dalam kamar mahkamah berkata, pampasan dibenarkan itu merangkumi ganti rugi am berjumlah RM600,000, ganti rugi khas (RM96,792.13) dan ganti rugi teladan (RM200,000) berserta lima peratus faedah dan kos setahun.

Beliau menerima pengakuan kesemua defendan termasuk pengarah Hospital Besut dan pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang mengaku melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kematian Ulya Insyirah Muhamad Sardi pada 5 Disember 2013.

Defendan-defendan terbabit membuat pengakuan itu ketika prosiding kes tuntutan saman yang dikemukakan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak perem­puan tersebut, Muhamad Sardi Saad, 42, dan Fadilah Abd. Wahab, 48, pada 3 April tahun lalu.

Lapan doktor berkenaan ialah Dr. Shairazi Azizi Mohd. Salleh, Dr. Mohd. Ruhaifi Yusuf, Dr. Norzaherawati Aryani Md. Tahir, Dr. Hasmani Hamat, Dr. Muhammad Solehuddin Ishak, Dr. Noor Ain Noor Afendi, Dr. Sharifah Huda Engku Alwi dan Datuk Dr. Jimmy Lee Kok Foo.

Mereka merupakan doktor perubatan di Hospital Besut dan HSNZ. Tiga lagi defendan ialah pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengarah Hospital Besut, Dr. Asmaliza Abdul Rahman serta kerajaan Malaysia.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×