Keluarga Anwar sudah cukup ‘kuorum’ - Utusan Malaysia

Keluarga Anwar sudah cukup ‘kuorum’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada 1999, anaknya, Nurul Nuha berusia 13 tahun. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa itu penjara. Dia mungkin juga sudah mengerti apakah nasib yang akan berlaku jika seseorang itu ditahan di penjara – nasib individu yang ditahan itu mahupun keluar­ganya.

Pada ketika itu, adik bongsu­nya, Nurul Hana baru berusia enam tahun. Mengikut laporan media pada waktu itu, ketika anggota polis menyerbu rumah mereka di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada malam 20 September 1998, dia amat takut sehingga me­nyembunyikan diri di bawah meja. Dia mendesak ibunya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk memberi penerangan dengan apa yang berlaku, tetapi ibunya hanya me­minta dia berdoa kepada Allah.

Keluarganya kemudian memberitahu bahawa ‘orang jahat’ telah menangkap papa dan menyumbatkannya dalam penjara.

Nurul Hana turut merekodkan peristiwa itu dalam buku tulisannya bertajuk ‘Sayang Buat Papa’ yang dilancarkan pada 2015. Dalam buku itu, Nurul Hana menceritakan apa yang terjadi pada malam ayahnya ditangkap.

“Saya dikejutkan oleh bunyi bising dan kekecohan yang membuat saya keliru tetapi ingin tahu. Saya ingin tahu mengapa bunyi bising yang tidak dikenali itu berlaku pada lewat malam sedangkan semua orang harus tidur.”

Episod hitam itu kembali berlaku dalam keluarga Nurul Nuha dan Nurul Hana apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup matang untuk dia berjuang untuk keadilan si ayah. Kali ini beliau dengan sokongan ahli keluarga­nya menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR itu yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.

Kempen itu sebagai manifestasi beliau yang mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarganya selepas Anwar ditahan yang didakwa akibat ketidakadilan sistem kehakiman negara ini. March To Freedom adalah kesinambungan perjua­ngan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarganya menjalani kehidupan penuh emosi.

Sejak pelancaran pada 11 Februari 2015, kempen itu berjalan setiap hari. Promosi digerakkan melalui media-media sosial termasuk di peringkat antarabangsa. Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang.

Tanggal 16 Mei lalu, genap tiga tahun tiga bulan perjuangan Nurul Nuha itu. Anwar telah diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Ia merupakan satu detik bersejarah. Bukan sahaja terhadap keluar­ga Nurul Nuha, tetapi negara ini keseluruhannya terutama para penyokong pejuang reformasi itu. Sehinggakan, Portal Human Rights Watch turut berpendapat ia menandakan satu pembaharuan kepada kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.

“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” katanya seperti dipetik menerusi akaun Instagram miliknya.

Sebagai seorang anak, saat pa­ling membahagiakan apabila bersama ibu dan ayah. Lebih-lebih lagi mereka sudah ‘terpisah’ bertahun lamanya. Walaupun Anwar merupakan figura awam yang perlu berkongsi ‘kasih’ itu de­ngan penyokongnya tetapi kepulangan bermakna itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan harus dimanfaatkan sepenuhnya.

Tidak terkecuali anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang sejak awal lagi mengikuti perjalanan politik bersama ibu dan ayahnya turut menzahirkan kesyukuran di atas pengampunan dari istana itu yang memberi makna bahawa Anwar bersih daripada sebarang jenayah, sekali gus membenarkannya bertanding dalam pilihan raya.

Jatuh bangun Anwar dalam politik turut dilalui Nurul Izzah. Menurut anak sulung Anwar itu, saat bersama keluarga yang kini sudah ‘cukup kuorum’ sangat berharga. Ia lebih bermakna jika dapat berbuka puasa bersama setelah beberapa tahun dinikmati dalam kesedihan dan penantian.

“Iftar sebenar pertama kami bersama-sama. Saat seperti ini, tidak kira jika ia dinikmati dalam lingkungan dinding penjara atau di rumah kita sendiri,” katanya seperti dipetik menerusi akaun Instagram miliknya dengan memuat naik gambar berbuka puasa kali pertama selepas Anwar pulang ke rumah.

Nurul Izzah turut menyifatkan kepulangan Anwar suatu jalan terbaik mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Perpisahan kini berakhir dengan pelukan.

“Kehidupan dan masa kini adalah bagaimana anda memilih untuk menerimanya. Sama ada antara perikemanusiaan, ketulusan, keyakinan dan harapan, atau putus asa, kemarahan, kekecewaan dan kepahitan. Kehidupan adalah berdasarkan prinsip. Ba­nyak lagi yang perlu dilakukan dan banyak lagi usaha untuk melawan ketidakadilan,” luahnya.

Keadilan mungkin tertunda, tetapi tidak pernah dinafikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN