Ke arah mentransformasi agenda pembangunan negara - Utusan Malaysia

Ke arah mentransformasi agenda pembangunan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

hari ini, genap 10 hari berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Tahniah kepada Pakatan Harapan (PH) atas kejayaan memenangi ‘Bapa Segala Pilihan Raya’ kali ini. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Mulai sekarang, kelangsungan agenda pembangunan Malaysia mesti diteruskan sekalipun berlaku perubahan pentadbiran kerajaan. Selepas 70 tahun mencapai kemerdekaan, agenda pembangunan perlu dikekalkan sebagai keutamaan ‘nombor satu’ demi memastikan Malaysia muncul negara maju dalam tempoh terdekat.

Dengan kejayaan meyakinkan yang ditampilkan oleh kem Dr. Mahathir sehingga berjaya mengubah landskap pemerintahan, Malaysia kini berada di landasan terbaik untuk kembali mengorak langkah ke hadapan. Penulis percaya, agenda kemajuan dan pembangunan memang sentiasa berlegar-legar dalam kotak pemikiran Dr. Mahathir.

Program pembangunan kemahiran teknikal sebenarnya telahpun digarap oleh Dr. Mahathir ketika beliau menerajui kerajaan selama 22 tahun sehingga digelar ‘Bapa Pemodenan Malaysia’. Agenda Wawasan 2020 adalah untuk menaik taraf Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju. Untuk tujuan itu, masyarakat berkemahiran teknikal tinggi perlu diwujudkan.

Sepanjang pemerintahannya, Dr. Mahathir telah menghasilkan terlalu banyak ‘mahakarya’ termasuklah Menara Berkembar Petronas (KLCC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Formula Satu (F1) di Sepang. Jangan dilupa, pembinaan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya juga adalah warisan yang dilestarikan oleh beliau.

Bertitik tolak daripada situ, penulis percaya penyediaan lebih banyak program dan tenaga kerja kemahiran teknikal akan membolehkan Perdana Menteri melaksanakan pembangunan berprofil tinggi pada masa akan datang.

Jelas sekali, ramuan utama dalam agenda pembangunan mapan atau lestari di Malaysia sebahagiannya adalah untuk memiliki bilangan jurutera mahir mencukupi demi memacu atau menterjemahkan pelan perancangan yang telah dirancang ke dalam bentuk pembinaan fizikal.

Misalnya, kejayaan banyak mercu tanda di seluruh dunia termasuk Burj Khalifa di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dibina berdasarkan idea cemerlang barisan arkitek dan disudahkan dengan teliti oleh jurutera berkaliber.

Namun, bukan mudah untuk mewujudkan tenaga pakar kerana ia adalah satu proses yang sangat berliku. Apa yang paling menarik di negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, agenda pembangunan dan kelangsungan Malaysia harus didokong oleh semua pihak.

Penulis menemui kepentingan ilmu kejuruteraan dalam surah al-Shaad [38:43-45]: “Dan Kami anugerahi dia (dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan (Kami tambahkan) kepada mereka sebanyak bilangan mereka sebagai rahmat daripada Kami dan pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai fikiran. Dan ambillah dengan tanganmu seikat (rumput), maka pukullah dengan itu dan janganlah kamu melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayub) seorang yang sabar. Dialah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya dia amat taat (kepada Tuhannya); Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishak dan Yaakub yang mempunyai perbuatan-perbuatan yang besar dan ilmu-ilmu yang tinggi.”

Program TVET

Ayat daripada surah tersebut mempunyai mesej kejuruteraan yang perlu disorot dan diselami oleh semua pihak. Mulai sekarang, penulis mencadangkan agar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diletakkan sebagai agenda utama dalam pelan perancangan pendidikan negara. Langkah itu bagi memastikan Malaysia muncul antara negara termaju di benua Asia.

Sebagaimana yang termaktub dalam Strategi TVET Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi tempoh lima tahun (2016-2021), agenda pembangunan lestari menekankan pentingnya pendekatan jangka pendek dan jangka panjang secara holistik terhadap sistem pendidikan TVET pada semua peringkat usia.

Dalam laporan Strategi TVET yang dikeluarkan pada 3 Oktober 2015 itu, UNESCO menekankan bahawa TVET bukan sahaja membantu membina kekuatan ekonomi sesebuah negara, malah turut menyumbang kepada penyatuan matlamat sosial, ekonomi dan alam sekitar yang seimbang.

Transformasi dan era TVET di peringkat universiti bukan sahaja berpotensi untuk menyumbang kepada penciptaan bidang kerja baharu di pasaran industri, malahan ia dapat mengubah landskap pekerjaan sedia ada.

Pelaksanaan TVET secara sistematik boleh menghasilkan graduan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi dan beretika di peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda hinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD) bagi memenuhi evolusi kerjaya pada masa depan.

Program TVET juga mampu untuk mengisi kekosongan dan kekurangan 230,000 juruteknik dan jurutera mahir sebagaimana dilaporkan oleh Majlis Sains dan Penyelidikan Kebangsaan (NCSR).

Pada masa sama, program TVET mampu untuk menyediakan tenaga pakar dan teknikal mahir sehingga 700,000 orang menjelang tahun 2040 sesuai dengan kebimbangan yang disuarakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) menerusi kertas dasar bertajuk Population Projection, Malaysia 2010-2040.

Penulis juga percaya Malaysia perlu meneliti kejayaan Britain, Australia dan Jepun dalam pelaksanaan program TVET dan tempoh lima tahun selepas PRU kali ini dianggap amat penting bagi memastikan bilangan tenaga pakar termasuk jurutera berjaya ditingkatkan menerusi transformasi pendidikan berasaskan konsep tenaga pakar mahir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×