Kadar zakat fitrah di Perlis kekal RM7 - Utusan Malaysia

Kadar zakat fitrah di Perlis kekal RM7

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 18 Mei – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menetapkan kadar bayaran zakat fitrah bagi umat Islam negeri ini kekal seperti mana tahun lalu iaitu RM7.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan majlis pengumuman rasmi kadar berkenaan yang diadakan di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Pelancaran tersebut disekalikan dengan Majlis Sumbangan Bantuan Aidilfitri yang dianjurkan oleh pihak Lembaga Kariah Masjid Negeri Arau kepada anak-anak yatim kariah Masjid Negeri.

Berangkat sama ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan baginda ke program tahunan tersebut disambut oleh Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan Setiausaha lembaga kariah itu, Abd. Majid Abd. Hamid.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Menurut Mohd. Nazim, kadar berkenaan adalah selari dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-35 yang bersidang pada 8 Mac lalu dan telah diperkenankan oleh Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Tambah beliau, MAIPs turut meminta seluruh umat Islam di negeri ini agar melaksanakan ibadah zakat melalui amil-amil kariah dan agensi yang dilantik oleh majlis agama itu.

Pada tahun ini MAIPs menyasarkan kutipan sumbangan zakat fitrah adalah sebanyak RM1.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 2017.

Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin di seluruh negeri Perlis kelak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×