Jururawat maut kemalangan empat kenderaan - Utusan Malaysia

Jururawat maut kemalangan empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH 25 Mei – Seorang jururawat yang sedang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 8.1 Lebuhraya Butterworth Kulim pagi ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Nur Hidayah Mahmud, 32, yang bertugas di Hospital Seberang Jaya maut di tempat kejadian akibat rempuhan kuat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah Seberang Jaya menghala ke Kulim melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Triton.

Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun itu terbabas dan berpusing ke arah jalan bertentangan sebelum menghempap kereta Perodua Viva yang dipandu Nur Hidayah.

“Kereta Toyota Vios itu juga melanggar sebuah lagi 4WD jenis Mitsubishi Triton yang tidak sempat mengelak.

“Nur Hidayah yang berasal dari Pengkalan Hulu, Perak maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN