PUTRAJAYA 24 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu hadapan berhubung mekanisme pelaksanaan caruman KWSP kepada surirumah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan komited untuk menunaikan janji caruman KWSP itu yang merupakan antara 10 janji yang perlu dipenuhi dalam tempoh 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita perlu menentukan mekanisme seperti siapa yang layak dan bagaimana diberikan sebab caruman dua peratus adalah daripada gaji suami dan kita ada pengiraan kalau (suami ada) isteri satu, dua atau tiga, kalaulah yang Islam itu.
“Mekanisme akan dikaji mendalam kerana ini juga membabitkan dana kerajaan (caruman) RM50 kepada sesiapa yang layak menerima,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima nota serah tugas daripada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Dalam pada itu, berhubung status Program Permata Negara (Permata), Dr. Wan Azizah berkata, beliau dijadualkan untuk mengadakan pertemuan dengan pengurusan program itu pada hari ini.
“Apa yang baik dalam Permata atau program-program kementerian lain akan diteruskan tetapi mesti juga ada muhasabah diri dan juga audit,” katanya. – UTUSAN ONLINE








