KUALA LUMPUR 30 Mei – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang hilang selepas didakwa di Hospital Ampang Puteri 25 Mei lalu, hari ini tampil memberi penjelasan menerusi rakaman video dari sebuah ladang kelapa sawit.
Video selama tujuh minit tersebut diedarkan kepada media menerusi aplikasi Whatsapp petang ini.
Dalam video tersebut, Jamal menjelaskan tindakan pihak berkuasa sejak kebelakangan ini menyebabkan dia bimbang hadir ke IPD Ampang hari ini.
“Saya bukan penjenayah atau pengganas, saya pemimpin masyarakat yang ingin mendedahkan apa berlaku di sekeliling,’ katanya dalam video tersebut.
Jamal mendakwa rakan-rakannya yang terlibat dalam baju mereah dua tahun lalu telah ditangkap dan dituduh.
“Minggu lepas SPRM menyerbu kediaman saya, pejabat saya dan beberapa tempat lain.
“Semalam saya kata sepatutnya hadir hari ini, tetapi saya bimbang dari semalam hingga hari ini rumah saya dipecah, diserbu anggota polis, kediaman ibu saya, pejabat saya, kediaman rakan-rakan saya.
“Jadi ini yang membimbangkan saya untuk hadir hari ini ke IPD Ampang walaupun telah berjanji semalam.
“Saya melihat satu demi satu, reman jamin, reman lagi, jamin lagi seolah olah tidak mahu melapaskan saya.
“Saya percaya apa yang dilakukan oleh polis dan SPRM sekarang mereka mendapat tekanan daripada kerajaan hari ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










