Jailani lepaskan semua jawatan dalam parti - Utusan Malaysia

Jailani lepaskan semua jawatan dalam parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU 18 Mei – Sebagaimana yang dijangkakan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jailani Johari mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa hari ini.

Jailani turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu kepada timbalannya, Datuk Rozi Mamat sehingga pemilihan jawatankuasa baharu.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri , Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut berbuat demikian bagi memikul tanggungjawab sebagai punca kekalahan teruk BN.

“Kini rakyat (menunjukkan) tidak mahu (kepemimpinan) Ahmad Razif, rakyat telah bersuara… saya juga mendengar suara dari bahagian meminta saya berundur dan saya sahut seruan tersebut,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok dan Sayap di Dewan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, petang tadi.

Tambahnya lagi, rakyat sudah mula bersuara dan menyatakan kehendak mereka, dan kini UMNO/BN perlu bangkit dengan perubahan dilakukan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan UMNO.

“Semua kesilapan, keegoan dan sikap cantas mencantas antara satu sama lain perlu dibuang kerana rakyat sudah bosan dengan apa yang berlaku bagi memastikan UMNO kembali bangkit dan diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” ujarnya.

Jailani bekas penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu penggal lalu tidak dicalonkan semula dalam PRU-14.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi turut membuat kenyataan menerusi laman sosial mengenai keputusannya melepaskan jawatan.

Namun beliau belum melakukan secara rasmi bagi memberi laluan kepada bakal penggantinya untuk kembali memulakan gerak kerja parti selepas PRU-14.

Keputusan itu dibuat bagi mengotakan janjinya semasa mengambil alih teraju kepemimpinan bahagian.

Ahmad Sabri dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan jika UMNO dan BN sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×