PELAJAR tahun akhir Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan (FISE), Management & Science University (MSU) telah menganjurkan iReX 2018: iDEA Regeneration bagi mempamerkan penghasilan produk dan idea kreatif projek tahun akhir mereka kepada warga kampus dan rakan industri MSU.
Penganjuran program itu juga bertujuan mempromosikan aktiviti berbentuk 3T (Techtour, TechCom dan Techpreneur) dalam kalangan para pelajarnya.
Acara dwitahunan yang berlangsung selama dua hari pada 15 dan 16 Mei lalu di Dewan Canselor MSU Shah Alam, Selangor melibatkan penyertaan kira-kira 320 pelajar program pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan diploma daripada tiga jabatan di bawah FISE iaitu Sains Media dan Grafik, Teknologi dan Kejuruteraan serta Sains Maklumat dan Pengkomputeran.
Pada masa sama, program tersebut menjadi platform kepada pelajar untuk berkongsi idea, inovasi dan kreativiti serta membincangkan secara ilmiah berkenaan aspek pengkomersialan produk dengan mengambil kira input-input daripada industri.
Selain itu, iReX 2018 turut memberi pendedahan kepada peserta dalam memperkasakan kemahiran insaniah yang menjadi elemen penting dalam pembangunan mahasiswa yang holistik dan kompeten.
Majlis penutup iREX 2018: iDEA Regeneration telah disempurnakan oleh Presiden MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid. Hadir sama pengurusan MSU, para pensyarah dan wakil-wakil industri.
Aktiviti lain yang turut dijalankan sempena program tersebut ialah pameran dan sesi perkongsian ilmu oleh rakan industri MSU serta pertandingan robotik.
Kerjasama erat antara MSU dan rakan industri turut diteruskan dengan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dengan JSoft Solutions Sdn. Bhd., SNK Market Data Research Sdn. Bhd. dan Niix Asia Pacific (M) Sdn. Bhd.
MoU itu melibatkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan serta latihan melibatkan kakitangan dan pelajar.










