PASIR PUTEH 14 Mei – Seorang ibu 11 anak di Kampung Bukit Abal, dekat sini, semakin dihimpit kemiskinan selepas kematian suami yang terbabit dalam nahas jalan raya berhampiran rumah mereka baru-baru ini.
Alawiah Ismail, 46, berkata, beban semakin terasa selepas ketiadaan suami, Mohd. Asri Mat Zin, 47, yang meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya dirempuh sebuah bas pada 4 Mei lalu.
Kata Alawiah, sembilan anaknya masih di bangku sekolah termasuk anak sulungnya yang belajar dalam tahun dua jurusan Sains Komputer di Universiti Tun Hussein Onn, Johor Bahru.
“Anak keempat saya, Ahmad Amir Hanifa Mohd. Asri, 17, terpaksa mengorbankan masa depannya terpaksa berhenti sekolah dan kini bekerja di kedai makan dengan pendapatan RM35 sehari,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Alawiah berkata, selepas pemergian suami, dia semakin terhimpit memikirkan nasib anak-anak yang berusia antara lima hingga 21 tahun yang perlu disara persekolahan dan keperluan mereka.
“Saya kini buntu kerana hanya bergantung kepada pendapatan sebagai guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dengan pendapatan RM800 sebulan.
“Wang itu saya perlu agihkan untuk persekolahan sembilan anak, keperluan dapur dan membayar sewa rumah RM100 sebulan yang saya sewa sejak tujuh tahun lalu.
“Jika dahulu, saya dan arwah suami sama-sama menanggung segala perbelanjaan keluarga yang mencecah hampir RM2,000 sebulan, namun kini saya perlu berdikari,” katanya di sini hari ini.
Sembilan anaknya yang masih belajar ialah Fatima Azzahra Mohd. Asri, 21; dan empat belajar di sekolah menengah iaitu, Fatima Assuaada, 18; kembar Ahmad Asyieff Baqhtiar serta Ahmad Asyraff Batiear, 14; Ahmad Amir Mukhlis, 13, dan empat di sekolah rendah, Ahmad Amir Husnul Hadi, 11; Fatima Azzqiah, 9; Ahmad Sufi Solehin, 7, dan Awateff Sofea, 5.
“Saya berharap ada pihak yang sudi memberi bantuan terutama rumah memandangkan kami tinggal di rumah sewa. Saya amat mengharapkan bantuan rumah daripada Majlis Agama Islam Kelantan.
“Tanah pusaka yang ditinggalkan arwah bapa boleh dijadikan tapak rumah baru kiranya ada yang sedia membantu,” katanya.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 03090020861695 atas nama Alawiah Ismail.










