IPOH 18 Mei – Ibu kepada tiga kanak-kanak yang maut ditetak dalam kejadian amuk di rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh, Rungkup di sini semalam, sempat menghubungi sepupunya bagi meminta bantuan.
Sepupu mangsa yang ingin dikenali sebagai Zul, 38, berkata, wanita tersebut yang menghubunginya dalam keadaan cemas memberitahu suspek sedang cuba untuk memecah masuk ke rumah mereka dalam keadaan marah dan menjerit-jerit.
Katanya, perbualan itu bagaimanapun terhenti setelah telefon bimbit tersebut dipercayai terlepas daripada pegangan mangsa.
“Zuraidah hubungi saya minta tolong, selepas itu saya hanya mendengar jeritannya dan tangisan kanak-kanak menerusi talian telefon yang masih aktif sebelum suara tangisan dan jeritan itu semakin perlahan dan terus hilang.
“Pada masa sama saya juga membuka pintu rumah yang terletak selang sebuah dari rumah mangsa dan mendengar jeritan mereka.
“Tidak lama kemudian saya lihat Rambo keluar dari rumah itu dengan tangan yang berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2 petang itu, mangsa, Nur Ziah Fasihah Mohd. Fadzil, 2, dan dua abangnya iaitu Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq,5, maut di tempat kejadian setelah ditetak seorang lelaki yang mengamuk dan meluru masuk ke rumah mereka.
Ketiga-tiga mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap, Seberang Perak selepas solat Jumaat. – UTUSAN ONLINE











