KUALA TERENGGANU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman menghormati pendirian Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.
Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata, keputusan itu adalah hak peribadi Johari tanpa sebarang paksaan.
Mengenai desakan Jailani supaya beliau turut mengundurkan diri juga adalah hak Johari dalam melahirkan pendapat berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun memutuskan tidak akan berbuat demikian ketika ini.
“BN Terengganu sedang melakukan bedah siasat berkenaan perkara tersebut dan ia tentunya akan mencapai kata putus tidak lama lagi.
“Namun buat masa ini, mengundurkan diri daripada tanggungjawab memulihkan parti secara tergesa-gesa bukanlah tindakan tepat apatah lagi semua pihak berada dalam keadaan getir dan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawap kerana masih ada rakyat yang menyokong serta memilih BN,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama











