KUALA LUMPUR 30 Mei – Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) diminta mengemukakan tuntutan kepada kerajaan bagi membantu kaum itu yang tertinggal tanpa perlu membandingkan dengan apa yang telah dinikmati orang Melayu menerusi hak mereka yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
![]() |
|
MOHAMMAD SHATAR SABRAN
|
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, ini bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat sehingga menyebabkan keharmonian antara kaum terjejas.
“Lebih elok sekiranya pihak berkenaan menuntut institusi pendidikan khas untuk memenuhi kehendak mereka dan bukannya menjadikan pusat pengajian seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sasaran.
“Begitu juga dengan pemberian tanah rancangan seperti Felda. Mereka mempunyai hak menuntut tanah namun tidak sesuai untuk membandingkan dengan apa diperoleh bumiputera dan orang Melayu kerana setiap kaum diberikan layanan adil mengikut keadaan mereka sejak dahulu lagi,” katanya yang juga pakar sosiologi kepada Utusan Malaysia di sini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, sebarang tuntutan yang ingin dilakukan oleh mana-mana pihak perlu mengikut peraturan dan situasi semasa bagi memudahkan kerajaan membuat keputusan terhadap permintaan mereka.
Hindraf kelmarin menyerahkan memorandum kepada Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) dengan menyenaraikan 25 cadangan bagi menangani isu yang dihadapi golongan B75 masyarakat India, antaranya pengambilan mandatori 15 peratus pelajar kaum itu ke universiti awam termasuk UiTM.-UTUSAN ONLINE











