Mereka kehilangan kasut dan selipar, tetapi masih mampu mengucapkan Alhamdulillah.
“Mengapa Alhamdulillah, bukan sumpah seranah?” tanya penulis kepada salah seorang daripada mereka.
“Tanda kami reda dengan kehilangan alas kaki dan menganggap kami telah mewakafkannya,” dia berkata. Penulis yang pada mula sedikit sebal dengan kehilangan seliparnya sendiri secara spontan turut mengucapkan Alhamdulillah.
Perbualan di atas berlangsung antara penulis dengan salah seorang jemaah yang turut kehilangan seliparnya selepas mengerjakan umrah bagi kali ketiga dan solat Zuhur, Isnin lalu di pintu utama Raja Abdul Aziz di Masjidilharam di Kota Suci Mekah, Arab Saudi.
Penulis masuk untuk mengerjakan umrah mengikut pintu tersebut kerana ia terletak paling hampir dengan tempat untuk memulakan mengelilingi Kaabah. Lalu selipar yang dipakai yang dimasukkan ke dalam beg plastik disimpan pada rak khas di situ, sama seperti yang dilakukan dua hari sebelum itu.
Pintu masuk
Oleh sebab selipar tidak hilang ketika diletakkan di situ sewaktu melakukan umrah sebelum itu, keputusan dibuat untuk menyimpan kasut di rak tersebut sekali lagi. Tapi rupanya tindakan kali kedua itu tidak menyebelahi penulis.
Kejadian kehilangan kasut atau selipar jemaah yang beribadat sekiranya alas kaki itu ditinggalkan di salah satu daripada 93 pintu masuk ke Masjidilharam – sama ada selepas mengerjakan umrah atau setelah solat lima waktu sehari – rupa-rupanya perkara biasa.
Tidak perlu membuat laporan atau marah-marah di tempat kejadian. Halalkan sahaja. Pergi ke kedai yang berdekatan, beli selipar baharu. Habis cerita.
Sebab itu mutawif yang mengiringi rombongan penulis untuk mengerjakan umrah pada hari pertama, Ustaz Khairuddin mengingatkan supaya selipar yang kami gunakan dibawa masuk bersama-sama, baik sewaktu bertawaf atau mengerjakan solat. “Kalau alas kaki hendak ditinggalkan di pintu masuk boleh sahaja, kita kena tawakal. Mungkin tidak ditemui lagi,” Khairuddin berpesan.
Menurut beliau, mungkin kasut atau selipar berkenaan bukan dicuri pun, tetapi terambil secara tidak langsung kerana pengambilnya menyangka bahawa kasut atau selipar itu menyamai dengan apa yang mereka pakai sewaktu ke masjid tersebut. Atau mereka tidak menemui selipar yang dipakai semasa datang dan tidak mahu pulang berkaki ayam.
Justeru, apabila kasut atau selipar yang dipakai tidak ditemui, mereka sauk sahaja alas kaki yang sama saiz dengan kaki mereka. Bagi penduduk Mekah atau kalangan yang sudah kerap mengerjakan umrah, mereka faham keadaan itu.
Lantaran itu mereka meredakan kehilangan alas kaki mereka. Pengambil alas kaki itu barangkali tahu bahawa tindakan mengambil kasut atau selipar itu akan dihalalkan oleh para pemiliknya. Lalu, kejadian kehilangan kasut dan selipar akan terus berulang.
Sebab itu agaknya untuk memastikan kasut atau selipar yang dipakai ke masjid tidak hilang, menjadi amalan meluas bagi jemaah yang ingin mengerjakan solat atau melaksanakan umrah di Masjidiharam membawa kasut, selipar atau sandal masing-masing sehingga ke tempat di mana mereka melakukan ibadat tersebut.
Perkara ini dibenarkan oleh pengawal masjid. Kasut dan selipar tersebut akan diletakkan di sisi jemaah atau di ruang antara sejadah permaidani yang dibiarkan kosong sewaktu sejadah-sejadah itu disusun. Ada kasut atau selipar yang dimasukkan dalam kantung khas atau sekadar beg plastik dan ada juga kasut dan selipar yang diletak di ruang kosong antara beg itu sahaja.
Apabila jemaah bersujud, kepalanya mungkin tersentuh kasut sendiri atau kasut orang lain yang terletak di ruang kosong tersebut lebih awal. Tetapi ia tidak menjadi isu kerana para jemaah meyakini bahawa kasut atau selipar yang mereka letak di sisi mereka sewaktu solat itu adalah bersih daripada sebarang najis.
Menurut Khairuddian kehilangan kasut tidak dianggap sebagai persoalan besar kerana sewaktu mengerjakan solat, berpuluh-puluh atau malah beratus ribu jemaah berada di dalam Masjidilharam pada satu-satu waktu terutamanya pada waktu Subuh, Maghrib dan Isyak.
Namun jumlah jemaah yang mengerjakan ibadat di Masjidilharam pada hari Jumaat adalah lebih tinggi berbanding pada enam hari biasa kerana umat Islam di negara-negara Arab yang berdekatan dengan Arab Saudi juga datang ke Mekah untuk mengerjakan solat Jumaat dan solat lima waktu pada hari itu.
Tarikan untuk bersolat – wajib dan sunat – di Mekah adalah kerana ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT adalah 100,000 kali ganda bagi solat yang sama di luar tanah haram Mekah. Hanya bersolat di Masjid Nabawi di Madinah yang melayakkan umat Islam mendapat ganjaran yang sama.
Pada bulan Ramadan pula, jumlah jemaah yang beribadat di Masjidilharam secara keseluruhannya adalah hampir menyamai dengan bilangan yang mengerjakan haji. Cuma kesesakan dapat dikawal kerana mereka tidak datang serentak, tetapi mengikut waktu-waktu tertentu pilihan mereka sama ada pada awal, pertengahan atau pengakhiran bulan puasa itu.
Dengan keluasan sedia ada iaitu 356,000 meter persegi, Masjidilharam tidak ada masalah untuk menampung umat Islam yang ingin beribadat di masjid tersebut kerana ruang solat yang ada boleh menampung sehingga satu juta jemaah pada satu-satu waktu. Tetapi ada juga yang memilih untuk solat di pekarangan luar masjid atau di atas jalan-jalan menuju ke masjid.
Perluasan
Bagi memastikan bahawa Masjidilharam boleh menampung permintaan umat Islam yang terus meningkat saban tahun untuk datang beribadat di Masjidilharam maka kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Almarhum Raja Abdullah melancarkan projek perluasan masjid terbesar di dunia itu pada 2007.
Apabila siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada 2020, projek yang dikenali sebagai Perluasan Raja Abdullah itu dijangka boleh menempatkan tambahan jemaah 1.5 juta lagi di Masjidilharam iaitu cukup untuk menampung sebahagian besar umat Islam yang mengerjakan haji setiap tahun. Jemaah cuma perlu bijak untuk memilih tempat-tempat yang sesuai dengan mereka.
Untuk membesarkan Masjidilharam, sehingga kini $100 bilion dolar Amerika telah dibelanjakan untuk projek perluasan itu yang akan menjadikan keluasan Masjidilharam yang sekarang ini berjumlah 356,000 meter persegi akan menjadi 400,000 meter persegi. Keluasan itu cukup untuk memuatkan 2.5 juta jemaah bersolat pada satu-satu waktu.










