Harga barangan masih terkawal - Utusan Malaysia

Harga barangan masih terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 24 Mei – Harga barangan keperluan di pasar basah di bandar ini masih terkawal walaupun sesetengah barangan mengalami sedikit kenaikan harga sejak awal Ramadan tahun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Machang mendapati kebanyakan harga barangan keperluan seperti daging, ikan santan, dan bawang masih kekal sebagaimana sebelum Ramadan.

Namun, ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran mengalami sedikit kenaikan harga.

Peniaga ayam, Faridah Mahmud ,51, berkata, harga ayam dari ladang hari ini ialah RM 5.70 sekilo, berbanding sebelum Ramadan hanya RM5.

“Lazimnya menjelang bulan puasa, harga memang naik tetapi harga akan kembali menurun dalam masa dua minggu menjelang perayaan Aidilfitri

“Harga ini masih murah berbanding musim raya tahun lalu, “ katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Peniaga sayur-sayuran, Latifah Mat Yusoff, 60, berkata, harga beberapa jenis sayur juga meningkat naik.

“Sebagai contoh harga lobak naik daripada RM13 sekilogram kepada RM19 manakala asam limau pula kini RM7 berbanding RM6.

“Namun bukan semua sayur ada peningkatan harga antaranya tomato dan cili burung masih kekal harga sama. Harga naik disebabkan pemborong yang tetapkan, kami terpaksa jual harga baharu bagi mengelakkan kerugian,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga kelapa, Halimah Mat daud, 59, berkata, harga santan masih sama iaitu RM10 dan stok dipercayai mencukupi sepanjang musim perayaan.

“Kebiasaannya bila Ramadan, santan tidak mendapat sambutan kerana kedai makan banyak yang tutup tetapi permintaan akan meningkat bila hari raya Aidilfitri tiba, “ ujarnya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Anis Amanina, 24, berharap tidak berlaku kenaikan harga yang ketara terutama ketika umat Islam ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN