Harap kekalkan PPBN – Hamidin - Utusan Malaysia

Harap kekalkan PPBN – Hamidin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 Mei – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap, siapa pun yang bakal dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan baharu dapat mengekalkan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Setiausaha Agong FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, beliau berharap program yang mampu memajukan bola sepak seperti PPBN dapat diteruskan oleh kerajaan baharu, malah mungkin ditambah baik.

“Bola sepak adalah sukan No. 1 negara. Kita mahu yang terbaik untuk bola sepak. Mana yang kita boleh kekalkan, harap dapat terus kekalkan, sementara mana yang boleh ditambah baik harap terus diperbaiki.

“Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perancangan masa depan. Kita akan tunggu menteri baharu dilantik dan bertemu beliau bagi membincangkan perancangan masa depan FAM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

PPBN adalah projek jangka panjang untuk membangunkan bola sepak negara yang diilhamkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 2014.

Sasaran terdekatnya adalah melayakkan diri ke Piala Dunia bawah 19 tahun pada 2019.

Sasaran utama PPBN juga adalah melahirkan pemain yang mampu beraksi di kelab luar negara, selain menyediakan produk terbaik skuad kebangsaan dengan sasaran layak ke Piala Dunia 2026. Program tersebut menyasarkan 50,000 pemain menjelang 2020.

Baru-baru ini Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) ditubuhkan Kuantan menerusi PPBN sebagai ekosistem dan pusat kecemerlangan sukan kepada pelajar dari seluruh negara. Ia berpusat di Gambang, Kuantan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pula berkata, siapa pun yang mentadbir negara perlu mengambil berat tentang sukan badminton yang dekat di hati rakyat.

“Kita akan terus fokus kepasa usaha meningkat prestasi badminton negara dan saya percaya kami akan dapat memberi kerjasama rapat kepada sesiapa sahaja yang akan menerajui Kementerian Belia dan Sukan nanti.

“Usaha utama BAM ialah untuk memastikan negara ini pada satu hari kelak menjadi kuasa besar badminton dunia, itu yang kita mahu realisasikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×