PUTRAJAYA – Kerajaan meminta pandangan orang ramai mengenai had umur minimum pemegang lesen memandu di negara ini berikutan statistik kematian jalan raya melibatkan golongan muda berada pada tahap membimbangkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pandangan rakyat akan membantu kerajaan meneliti keperluan untuk mengubah had umur minimum pemegang lesen memandu agar bilangan kematian dapat dikurangkan.
Menurutnya, ketika ini had umur minimum pemegang lesen memandu adalah 16 tahun bagi motosikal dan 17 tahun bagi kereta.
“Kematian yang melibatkan golongan muda di antara umur 16 hingga 25 tahun amat membimbangkan.
“Jadi kita memohon orang ramai menyatakan pandangan mereka menerusi medium-medium sedia ada seperti Facebook Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Kementerian Pengangkutan atau Facebook saya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pejabat JKJR di sini semalam.
Berdasarkan statistik pada 2016, sebanyak 1,161 kematian melibatkan golongan muda berumur 16 hingga 20 tahun serta 1,000 kematian bagi yang berumur 21 hingga 25 tahun.
Kadar kemalangan paling besar adalah dalam kalangan penunggang atau pembonceng motosikal.











