PUTRAJAYA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersedia untuk menerima saman daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda berhubung kenyataannya yang disifatkan sebagai tidak adil dan tidak memberi gambaran yang tepat terhadap apa yang berlaku kepada syarikat pelaburan tersebut.
Jelas beliau, Arul perlu sedar bahawa hanya dia sahaja yang kini bekerja untuk syarikat tersebut yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.
“Arul sudah membuat pelbagai janji, kalau dia mahu saman, saya tunggu tetapi dia perlu ingat bahawa hanya dia seorang sahaja pekerja 1MDB dan Kementerian Kewangan memiliki 1MDB,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Kewangan mendedahkan 1MDB telah muflis dan tidak mampu membayar hutang termasuk membayar kadar faedah yang matang pada April dan Mei ini.
Lebih mengejutkan, pelaburan yang dibuat oleh 1MDB sebanyak RM9.8 bilion sejak dua tahun lalu juga merupakan penipuan.
Arul kini sedang bercuti sehingga tamat kontrak pada Jun ini.
Bagaimanapun, Arul hari ini mengeluarkan satu kenyataan bahawa Guan Eng bersikap tidak adil dengannya apabila mengeluarkan kenyataan umum yang didakwanya memberi gambaran tidak tepat berkaitan apa yang berlaku sehingga memperlihatkan dirinya sebagai orang jahat.
Beliau juga berkata telah mendapatkan nasihat daripada peguam untuk tindakan susulan. – K! ONLINE











