Gotong-royong masak nasi ambeng - Utusan Malaysia

Gotong-royong masak nasi ambeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJALANAN selama 12 jam dari Perlis ke Johor ternyata meninggalkan memori manis kepada 30 pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) apabila berpeluang bergotong-royong bersama penduduk Kampung Parit Raja, Batu Pahat, Johor menyediakan juadah nasi ambeng, baru-baru ini.

Mereka yang terdiri daripada Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Unimap menyediakan juadah itu bersama MPKK Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan penduduk kampung sempena Program Kem Pemuafakatan Pemimpin Kolej-kolej Kediaman Unimap-UTHM.

Kem berkenaan merupakan anjuran Majlis Pengetua Unimap dan UTHM dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap dan UTHM.

Nasi ambeng adalah makanan tradisi masyarakat Jawa yang terkenal di Johor dan yang dihidangkan di dalam dulang bersama nasi dan lauk-pauk serta buah-buahan.

Salah seorang pelajar, Wan Teh Wahidah Wan Mohamad berkata, dia yang berasal dari Perak berasa bertuah apabila terpilih menyertai kem berkenaan kerana berpeluang menimba pengalaman menyediakan nasi ambeng bersama penduduk kampung.

Katanya, walaupun perlu menempuhi perjalanan yang jauh bersama 30 rakan-rakan lain dari lima kolej kediaman Unimap,ternyata ia berbaloi kerana dapat memperoleh ilmu baharu menyediakan masakan masyarakat Jawa dan belajar adat tradisi masyarakat tersebut.

“Segala penat dan letih menempuhi perjalanan jauh hilang begitu sahaja apabila dapat melihat keindahan negeri dan kampung orang, apatah lagi dapat berbual mesra dengan penduduk kampung sambil bergotong-royong menyediakan nasi ambeng,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Mohd Asyraaf Hasbi berkata, dia dan rakan-rakan teruja dapat bersama-sama penduduk kampung menyediakan juadah nasi ambeng sejak awal pagi.

Katanya, beliau tidak pernah menikmati juadah itu dan tertarik dengan cara juadah itu dihidangkan iaitu di dalam dulang serta dimakan bersama-sama rakan yang lain.

“Keunikan cara hidangan membuatkan kami teruja menyediakan hidangan itu daripada proses awal penyediaan sehingga majlis tahlil dan doa selamat pada malamnya,” katanya.

Terdahulu, kem lima hari berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTHM, Prof. Madya Dr. Asri Selamat di Surau Al-Ehsan Kampung Parit Raja dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Unimap, Prof Madya Dr. Mohd Foad Sakdan,

Selain gotong-royong menyediakan juadah tersebut, turut diadakan ialah acara sukaneka bersama penduduk kampung, belajar tarian zapin, membersihkan tanah perkuburan, surau, dan rumah warga emas, serta penyerahan sumbangan dari Unimap kepada penduduk kampung.

MPKK Unimap turut berkongsi dan bertukar-tukar idea menerusi aktiviti diskusi perkongsian isu, amalan dan aktiviti-aktiviti kolej kediaman bersama lebih 30 MPKK UTHM yang diadakan di Kolej Perwira UTHM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×