JAKARTA – Syarikat platform perkhidmatan e-panggilan teksi motosikal di Indonesia, Go-Jek berkata pihaknya merancang memperluaskan operasi ke Vietnam, Thailand, Singapura dan Filipina.
Tindakan tersebut dikatakan bakal menyaingi Grab dalam pasaran Asia Tenggara yang kini berkembang semakin pesat.
Langkah itu menandakan pengembangan pertama Go-Jek di luar Indonesia selepas Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat berkata, pihaknya akan menjual perniagaannya di rantau itu kepada Grab Singapura.
Go-Jek turut beroperasi sebagai kereta persendirian dan beberapa perkhidmatan lain termasuk khidmat urutan, membersihkan rumah, membeli-belah di kedai runcit dan penghantaran makanan.
Kesemua itu boleh didapati hanya di hujung jari melalui aplikasi.
Syarikat itu berkata, pihaknya akan melabur AS$500 juta (RM1.9 bilion) untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa dan memulakan perkhidmatan berkenaan dalam beberapa bulan lagi.
Go-Jek mendapat sokongan kewangan daripada beberapa pelabur termasuk enjin carian Google, dana kerajaan Singapura, Temasek dan syarikat gergasi internet China, Tencent.
Pasaran pengendali teksi motosikal itu dijangka akan mencecah AS$20 bilion (RM79 bilion) menjelang tahun 2025, menurut kajian yang dikendalikan Temasek dan Google. – AFP











