WASHINGTON 18 Mei – Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan pelantikan Gina Haspel sebagai wanita pertama untuk memegang jawatan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA).
BBC melaporkan, kelulusan itu dibuat selepas Haspel memperoleh undian sebanyak 54-45 undian.
Haspel, 61, bakal menggantikan Mike Pompeo yang kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Negara AS.
Haspel telah berkhidmat selama 33 tahun dan menghabiskan sebahagian besar kariernya dalam operasi penyamaran.
Pada 2002, beliau dipilih oleh CIA untuk mengendalikan apa yang dipanggil ‘kawasan hitam’ di Thailand, yang menggunakan teknik soal siasat yang keras digunakan.
Salah seorang suspek, Abd. al-Rahim al-Nashiri, pernah diseksa menggunakan teknik keras itu sebelum diharamkan oleh bekas Presiden AS, Barack Obama.
Abd. al-Rahim juga diseksa dengan pelbagai cara seperti dipaksa berbogel, disumbat dalam kotak kecil dan dihentak berulang kali ke dinding.
Tiga tahun selepas itu, Haspel mengarahkan 92 buah rakaman yang memaparkan tentang soal siasat Abd. al-Rahim dimusnahkan.
Ahli Demokrat, Senator Mark Warner berkata, Haspel berjanji untuk tidak menggunakan teknik soal siasat tersebut walaupun Trump mengarahkan supaya berbuat demikian.
“Saya percaya beliau merupakan seorang yang tegas, akan bercakap benar meskipun presiden mengarahkannya membuat sesuatu yang tidak sah di sisi undang-undang atau tidak bermoral,” katanya.











