Gas Malaysia peruntuk perbelanjaan modal RM190 juta tahun ini - Utusan Malaysia

Gas Malaysia peruntuk perbelanjaan modal RM190 juta tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Mei – Pengedar gas asil, Gas Malaysia Bhd. memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah sehingga RM190 juta tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Hashimi Abdul Manap.

AHMAD HASHIM
AHMAD HASHIM

Beliau berkata per­belanjaan modal itu yang lebih tinggi da­ri­pada RM170 juta yang diperuntukkan tahun lepas akan digunakan untuk mengembangkan prasarana dan saluran paip ke kawasan baharu serta mengembangkan kemudahan di kawasan sedia ada.

“Dengan pengembangan itu, kami berharap akan ada banyak kawasan yang boleh dihubungkan ke sistem rangkaian saluran paip,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Ahmad Hashimi berkata peruntukan modal itu juga sejajar de­ngan rancangan syarikat itu untuk mem­belanjakan sebanyak RM500 juta bagi mengembangkan prasarana dalam tempoh tiga tahun bermula tahun lepas.

Tahun lepas, hasil Gas Malaysia meningkat 32.1 peratus kepada RM5.35 bilion daripada RM4.05 bilion pada 2016 atas sokongan kenaikan 11.9 peratus dalam kuantiti gas yang dijual.

Mengenai Akses Pihak Ketiga (TPA), beliau berkata syarikat itu bekerjasama erat dengan pengawal selia, Suruhanjaya Tenaga, sebagai persediaan bagi pelaksa­naan peraturan tersebut.

Menurutnya, Gas Malaysia juga menggabungkan dua syarikat untuk memohon lesen pengedaran dan perkapalan di bawah TPA.

“Kami mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan pembinaan kapasiti bagi setiap perniagaan baharu, menyesuaikan kepakaran dan pengalaman kami untuk berfungsi dengan lebih cekap dan kompetitif di bawah TPA,” katanya.

TPA adalah sistem yang membolehkan pihak ketiga mengakses kemudahan gas yang mereka tidak miliki atau mengoperasi dengan matlamat mewujudkan situasi di mana harga gas kepada pengguna akhir akan berdasarkan kepada ke­sediaan pembeli dan penjual, de­ngan mengambil kira persaingan sihat dalam kalangan pembekal saingan. – BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Gas Malaysia tidak menjangkakan sebarang gangguan dalam operasi perniagaannya di Malaysia susulan perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahmad Hashimi berkata, persekitaran perniagaan yang kondusif dijangka terus dikekalkan tidak kira parti mana yang akan menerajui kerajaan.

“Kami percaya kerajaan akan menggalakkan apa juga yang akan meningkatkan pembangunan ekonomi di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat yang diadakan di sini hari ini.

Bagi Gas Malaysia katanya, sebagai entiti senaraian awam, syarikat itu akan terus menggalas tanggungjawabnya dalam memastikan kemampanan pendapatan kepada pemegang saham.

Menurutnya, sebagai syarikat gas berlesen, Gas Malaysia juga akan meneruskan usahanya membina, mengoperasi dan menyenggara rangkaian saluran paip.

“Pelanggan kami kebanyakannya pelanggan perindustrian. Ini adalah pelanggan yang akan memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Dalam PRU14 yang baru berakhir, parti pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengalahkan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) yang diketuai bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kekalahan pertama parti tersebut sejak negara mencapai kemerdekaan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×