KEMPEN pelayaran Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza (Palestin) adalah antara usaha berterusan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk menarik perhatian komuniti dunia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.
Kesedaran sedemikian penting kerana NGO-NGO berkenaan menyifatkan isu-isu kemanusiaan dan kekejaman rejim Israel di Palestin bukan lagi perlu ditangani oleh umat Islam sahaja.
Sejajar itu, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) bersama ahli-ahli FFC lain tidak akan hanya belayar bersama sebuah bot besar yang telah diubah suai dari Norway sehingga ke Gaza
Tetapi, kata Pengerusi MyCare, Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor, pihaknya akan mengadakan kempen sambil mengedar risalah tentang penderitaan dan kesengsaraan penduduk Gaza di setiap pelabuhan yang disinggahi.
“Pelayaran bermula dari pelabuhan Bergen di Norway pada 30 April lalu kemudian menuju ke Denmark, Jerman, Perancis, Sepanyol, Portugal dan belayar di Lautan Mediterranean untuk singgah di Itali sebagai destinasi terakhir sebelum menuju ke Gaza.
“Kalau kami berjaya memasuki Gaza, bot-bot yang dinaiki aktivis FFC akan diberikan kepada rakyat di Gaza untuk tujuan aktiviti perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pelayaran menggunakan sebuah bot besar dipanggil sebagai al-Awda (pulang) bersama tiga bot kecil lain di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pelayaran memakan masa dua bulan setengah untuk sampai ke Gaza itu akan disertai 10 wakil aktivis MyCare dan beberapa aktivis dari Norway, Kanada, Sweden dan Sepanyol.
KEMPEN KESEDARAN
Mengulas lanjut, Hafidzi berkata, laluan pelayaran tersebut akan membolehkan pihak aktivis FFC singgah di kira-kira 13 buah pelabuhan utama di negara-negara berkenaan.
Peluang keemasan itu, tambah beliau, akan digunakan oleh aktivis tersebut untuk mengadakan pelbagai kempen kesedaran melalui pengedaran risalah dan bersua muka dengan penduduk setempat bagi menerangkan situasi terkini di Gaza.
“Kami mahu beritahu penduduk di rantau tersebut bahawa Gaza masih wujud dan penduduk di sana sedang melalui saat-saat getir serta penuh penderitaan ekoran tindakan zalim rejim Israel,” katanya.
Hafidzi memberitahu, antara tindakan zalim rejim Israel adalah mengenakan sekatan ke atas nelayan di Gaza sebagai usaha untuk menghadkan sumber pendapatan penduduk berkenaan.
Katanya, nelayan Gaza hanya dibenarkan menangkap ikan dalam jarak dua hingga tiga batu nautika dari pantai, sedangkan ia adalah kawasan paling banyak tercemar dengan sisa kumbahan manusia dan industri.
“Pencemaran itu menyebabkan jumlah ikan tidak banyak dan kalau ada, ia besar kemungkinan tidak sesuai untuk dimakan kerana tercemar.
“Jika nelayan Gaza itu bertindak melepasi kawasan tersebut, mereka akan ditembak dan bot-bot dimusnahkan oleh rejim Israel,” katanya.










