ANKARA 17 Mei– Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (gambar) berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ‘lumpuh’ ketika berdepan dengan kes tentera Israel membunuh lebih 60 penduduk Palestin di Semenanjung Gaza semasa bantahan pada awal minggu ini.
Al Jazeera melaporkan, Erdogan menyifatkan PBB sebagai sudah ‘tamat’ kerana tidak bertindak balas terhadap kekejaman Israel yang berterusan terhadap kumpulan penunjuk perasaan di wilayah berkenaan.
Pada Isnin lalu, tentera Israel membunuh lebih 60 penunjuk perasaan Palestin di sepanjang pagar Gaza-Israel ketika berpuluh-puluh ribu orang menyertai perhimpunan Great March of Return dan membantah pembukaan Kedutaan Amerika Syarikat yang baharu di Baitulmuqaddis.
Lebih 2,700 yang lain cedera apabila tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ke arah mereka yang berhimpun.
Ergodan menuduh Israel zalim dan menegaskan Turki akan memindahkan mereka yang cedera dari Gaza, di mana kemudahan hospital dilaporkan berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Israel mempertahankan tindakan tenteranya menggunakan peluru hidup selaras dengan undang-undang dalam negara dan antarabangsa, dengan menegaskan bahawa tunjuk perasaan adalah sebahagian daripada konflik negara itu dengan Hamas yang mentadbir Semenanjung Gaza.
Bagaimanapun sejumlah pemimpin antarabangsa menyelar kekejaman tentera Israel itu.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, Israel bertindak ‘menghina’ kerana menyifatkan penunjuk perasaan yang dibunuh di sepanjang sempadan Gaza sebagai ‘pengganas’.
“Saya tidak boleh bersetuju dengan fakta bahawa berpuluh-puluh orang awam termasuk kanak-kanak dan bayi yang terbunuh dalam insiden ini adalah pengganas. Ini adalah kenyataan menghina,” katanya.
Sejak bulan lalu, tentera Israel telah membunuh 111 rakyat Palestin dan mencederakan lebih daripada 12,000 orang yang lain.










