KUALA LUMPUR 21 Mei – Penyanyi yang berasal Britain, Ed Sheeran menang besar pada anugerah berprestij Billboard Music Awards (BBMAs) 2018 yang berlangsung di MGM Grand, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Memenangi Artis Paling Top, Sheeran turut mengetepikan beberapa nama besar untuk mengungguli kategori utama seperti Bruno Mars, Drake, Kendrick Lamar, dan Taylor Swift.
Selain itu Sheeran juga membawa pulang lima anugerah Artis Lelaki Top, Artis Lagu Radio Top, Artis Hot 100 Top, Lagu Radio Top serta Artis Penjualan Lagu Top.
Sementara itu turut bersaing rapat adalah penyanyi rap Kendrick Lamar yang memenangi enam kategori dan Bruno Mars yang turut membawa pulang lima trofi pada majlis anugerah itu.
Dalam majlis yang sama kumpulan Kpop terkenal BTS turut memenangi kategori Top Social Artist buat kali kedua. BTS juga mencipta sejarah tersendiri sebagai artis Kpop pertama yang membuat persembahan di majlis berprestij itu.
Membuat kejutan, penyanyi legenda, Janet Jackson turut mengadakan persembahan selepas sembilan tahun tidak pernah muncul di atas pentas. Pada majlis anugerah itu Janet turut menerima Anugerah Ikon selepas membabitkan diri dalam bidang ini hampir 4o tahun lalu.
Billboard Music Awards dihoskan penyanyi Kelly Clarkson dan antara artis yang turut membuat persembahan adalah Christina Aguilera, Demi Lovato, Ed Sheeran dan Arian Grande. – UTUSAN ONLINE










