KINSHASA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran supaya semua pihak berjaga-jaga selepas wabak Ebola dipercayai muncul semula di Afrika.
Republik Demokratik Congo mengumumkan satu kematian akibat wabak itu, manakala sembilan kes baharu turut dikesan di sini pada Khamis lalu.
“Kita memberi perhatian utama kepada wabak itu dengan menyediakan perancangan untuk berdepan dengan semua senario termasuk keadaan paling teruk,” kata Ketua Tindak Balas Kecemasan WHO, Peter Salama.
Sekurang-kurangnya 17 orang mati sejak penduduk sebuah perkampungan di barat laut Congo mula menunjukkan simptom jangkitan Ebola pada Disember lalu.
Kebanyakan kes itu masih belum disahkan menerusi ujian, namun dua orang didapati positif virus berkenaan.
“Satu ciri epidemik dikesan apabila tiga kakitangan profesional kesihatan turut dijangkiti akibat wabak berkenaan.
“Situasi ini membimbangkan kami dan memerlukan tindak balas segera,” kata Menteri Kesihatan Congo, Oly Ilunga dalam satu kenyataan.
Kebanyakan kes setakat ini. direkodkan di sekitar perkampungan Ikoko Impenge berhampiran barat laut bandar Bikoro.
“Dalam kes yang dikesan, jururawat mula menunjukkan simptom dijangkiti wabak itu selepas merawat pesakit. Kami terpaksa mengasingkan mereka,” kata Pengarah Hospital Bikoro, Serge Ngaleto kepada Reuters.
Kementerian Kesihatan Congo berkata, pihaknya telah menghantar satu pasukan yang terdiri 12 pakar untuk mengesan simptom baharu penyakit itu dengan mengenal pasti kesemua perkampungan terjejas selain menyediakan sumber perubatan.
Saintis bimbang wabak berkenaan boleh menjadi sukar dikawal selepas menyebabkan sekurang-kurangnya 11,000 orang mati di negara-negara Afrika Barat pada tahun antara 2014 hingga 2016. – Reuters/Agensi









