PETALING JAYA – Polis menembak mati dua lelaki dan menahan empat yang lain selepas mereka dipercayai terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai emas di pusat membeli-belah Atria Mall di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu berlaku selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Ketua Jabatan Siasaran Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, sebaik tiba ke lokasi kejadian, pasukannya telah bertembung dengan sekumpulan enam lelaki yang lengkap bertopi keledar dan memakai jaket yang baharu sahaja menyamun sebuah kedai emas di pusat beli-belah tersebut.
“Sebaik melihat kehadiran polis, beberapa suspek mula melepaskan tembakan dan pihak kami terpaksa membalas untuk mempertahankan diri,” katanya dalam sidang akhbar ringkas sebentar tadi.
Menurut Fadzil, dalam kejadian berbalas tembakan tersebut, anggota berjaya menembak mati dua lelaki, manakala seorang cedera terkena dua tembakan pada badan dan tiga yang lain ditahan.
“Polis juga merampas sepucuk pistol semi-auto, sepucuk revolver dan sepucuk pistol angin yang dipercayai digunakan untuk merompak kedai emas.
“Kami juga berjaya mendapatkan semula barang kemas yang disamun, namun jumlah keseluruhannya belum dapat dipastikan memandangkan siasatan masih sedang dijalankan,” ujarnya.
Difahamkan, kumpulan suspek tersebut aktif melakukan aktiviti samun kedai emas di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Kami percaya lebih daripada lapan individu terlibat dalam kejadian ini dan pihak polis sedang menjejaki saki baki ahli kumpulan tersebut. – K! ONLINE











