Dua penjenayah ditembak mati - Utusan Malaysia

Dua penjenayah ditembak mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU 22 Mei – Polis menembak mati dua lelaki disyaki anggota Geng Mamak di Jalan Chengkau-Pulau Mampat dekat sini awal pagi ini.

Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 30-an terbabit diekori polis selepas mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan di Lebuh Raya Utara-Selatan pada pukul 1 pagi.

Menurut sumber, apabila menyedari kehadiran polis, suspek kemudian keluar melalui susur Plaza Tol Pedas-Linggi lalu memasuki jalan menuju ke Pulau Mampat di sini.

Bagaimanapun, ujarnya, kenderaan mereka dihampiri polis yang mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.

“Suspek berdegil dan memecut laju kenderaan. Cubaan mereka melepaskan diri gagal apabila kereta itu berjaya dihalang polis.

“Anggota polis cuba diserang oleh kedua-dua suspek sehingga memaksa polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri. Tembakan itu mengenai kedua-dua suspek menyebabkan mereka mati di tempat kejadian,” katanya di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata polis masih melakukan siasatan berhubung latar belakang suspek dan butiran lanjut kejadian akan dimaklumkan dalam sidang akhbar esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN