KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan nama sembilan lagi ahli Parlimen Pakatan Harapan yang dilantik sebagai Menteri Persekutuan.
Menurut kenyataan perdana menteri hari ini, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi manakala Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Turut dilantik adalah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Ketua Wanita PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) dan Naib Presiden DAP, M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia).
Turut tersenarai adalah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), Pengarah Stretegi Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar).
Pengumuman itu menjadikan barisan kabinet kini 14 orang susulan pengumuman sebelum ini yang menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. – Bernama
Senarai Menteri Kabinet baharu:
Perdana Menteri
Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi)
Timbalan Perdana Menteri
Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Pandan)
Menteri Kewangan
Lim Guan Eng (Bagan)
Menteri Dalam Negeri
Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh)
Menteri Pertahanan
Mohamad Sabu (Kota Raja)
Menteri Pendidikan
Dr. Maszlee Malik (Simpang Renggam)
Menteri Pembangunan Luar Bandar
Rina Harun (Titiwangsa)
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Zuraida Kamruddin (Ampang)
Menteri Pengangkutan
Anthony Loke Siew Fook (Seremban)
Menteri Komunikasi dan Multimedia
Gobind Singh Deo (Puchong)
Menteri Tenaga Manusia
V. M. Kulasegaran (Ipoh Barat)
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Salahuddin Ayub (Pulai)
Menteri Kesihatan
Dr. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)










