HAVANA 19 Mei – Cuba mula berkabung selama dua hari mulai hari ini selepas sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Cubana de Aviacion atau Cubana terhempas menyebabkan 107 daripada 110 penumpang terkorban, manakala tiga lagi cedera parah.
Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel memaklumkan bahawa siasatan sedang giat dilakukan untuk mengenal pasti punca nahas yang menimpa pesawat Boeing 737 berusia hampir 40 tahun itu.
Beliau yang melawat lokasi nahas mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.
Media tempatan melaporkan bahawa tiga wanita yang merupakan sebahagian daripada penumpang pesawat tersebut berjaya dibawa keluar dan dipercayai hanya mereka yang terselamat.
Pesawat yang membawa sebanyak 104 penumpang termasuk enam anak kapal itu terhempas ke sebuah kawasan padang dan terbakar sejurus berlepas dari lapangan terbang Jose Marti.
Ketika kejadian, pesawat berkenaan dalam perjalanan dari Havana ke bandar Holguin yang terletak di timur Cuba dengan kebanyakan penumpang terdiri daripada rakyat tempatan dan lima warga asing termasuk dua rakyat Argentina.
Enam anak kapal yang terkorban merupakan warga Mexico.
Pesawat berkenaan hampir musnah sama sekali selepas terhempas. Pasukan bomba telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran dan ambulans tiba untuk membawa penumpang yang cedera ke hospital.
Beberapa imej yang disiarkan menunjukkan hanya sebahagian daripada sayap pesawat yang kelihatan manakala badan utamanya hancur berkecai.
Pesawat yang dibina pada 1979 sebelum ini dimiliki syarikat penerbangan Mexico iaitu Global Air atau juga dikenali sebagai Aerolineas Damoj.
Pihak berkuasa Mexico akan menghantar dua pakar penerbangan untuk membantu siasatan berkaitan nahas berkenaan.
Menurut seorang saksi, Jose Luis, 49, pesawat tersebut berlepas dengan baik sebelum menjunam tidak lama kemudian dan terbakar.
Seorang lagi saksi, Yasniel Diaz, 21, memaklumkan juruterbang cuba melakukan pendaratan kecemasan tetapi gagal kerana pesawat terhempas dengan cepat.
“Letupan akibat nahas sangat kuat dan ramai penduduk mula larikan diri akibat panik dengan keadaan yang berlaku,” katanya.
Sementara itu di Mexico City, ahli keluarga serta rakan-mangsa berkumpul di luar pejabat Global Air untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung nahas tersebut dan ada yang dilihat saling berpelukan sambil menangis.
Seorang bekas kakitangan Global Air, Ana Marlene, 44, menyatakan bahawa dia merupakan rakan kepada juruterbang, pembantu juruterbang dan ketua pramugari.
“Pada mulanya, saya ingat kejadian itu sekadar berita palsu, tetapi kini saya percaya ia benar-benar berlaku dan saya berasa sangat sedih,” ujarnya.
Insiden tersebut merupakan nahas kapal terbang terburuk dalam tempoh tiga dekad dan berlaku setahun selepas kejadian pesawat pengangkutan terhempas di barat Cuba pada April lalu, menyaksikan lapan anggota tentera maut.
Kejadian nahas kapal terbang paling teruk sebelum ini berlaku pada November 2010 apabila pesawat Aero Caribbean yang dalam perjalanan dari Santiago de Cuba ke Havana, mengorbankan kesemua 68 penumpang termasuk 28 warga asing. – AFP











