MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pihaknya akan lebih berjimat cermat dalam menguruskan perbelanjaan untuk menandatangani pemain baharu pada musim depan.
Menurut bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu, beliau hanya akan membawa masuk dua orang pemain sahaja bagi menggantikan posisi beberapa pemain yang akan meninggalkan pasukan.
“Kontrak Yaya Toure sudah tamat dan saya perlu mencari penggantinya dalam masa terdekat. Saya juga mungkin hanya akan membeli dua pemain sahaja kerana kami sudah tidak mempunyai wang yang banyak.
“Ramai yang tidak mempercayai kata-kata saya ini, namun jujurnya City memang tidak memiliki dana sebanyak £300 juta (RM1.61 bilion) untuk dibelanjakan pada setiap musim,” ujarnya.
Laporan ESPN mendedahkan bahawa Guardiola kini memburu khidmat pemain tengah Napoli, Jorginho selain turut berharap dapat memuktamadkan perjanjian bagi membawa masuk Fred daripada Shakhtar Donetsk.
Sebagai rekod, skuad The Citizens mencipta sejarah baharu di England apabila muncul sebagai pasukan pertama yang meraih 100 mata, sekali gus dinobatkan sebagai juara Liga Perdana England (EPL).
Mengulas lanjut, Guardiola turut menjangkakan saingan untuk mereka mempertahankan gelaran juara pada musim depan akan bertambah sukar.
“Kami akan berdepan cabaran hebat musim depan kerana semua pasukan dalam liga ini akan berlumba-lumba menandatangani pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan mereka,” jelasnya. – Agensi










