BEIJING – Washington dan Beijing bersetuju membatalkan sebarang perang perdagangan dan tidak akan meneruskan tindakan untuk saling mengenakan tarif. lapor media pemerintah China semalam.
Pengumuman itu diumumkan selepas rundingan peringkat tinggi di ibu kota Amerika Syarikat (AS) susulan ketegangan selama beberapa bulan berhubung dakwaan Presiden Donald Trump bahawa hubungan komersial antara dua gergasi ekonomi itu berat sebelah.
Timbalan Perdana Menteri China, Liu He yang mengetuai perunding China di Washington menyatakan: “Kedua-dua belah pihak mencapai konsensus, tidak akan melancarkan perang perdagangan dan tidak akan meningkatkan tarif ke atas satu sama lain,” lapor agensi berita rasmi, Xinhua semalam.
He menganggap persetujuan itu sebagai satu ‘keperluan’ tetapi menambah: “Pada masa yang sama, pemulihan hubungan tidak dapat dilakukan dalam masa sehari.
“Masalah struktur ekonomi dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara memerlukan masa untuk diselesaikan.”
Terdahulu, satu kenyataan bersama di Washington menyatakan bahawa Beijing akan meningkatkan ‘dengan banyak’ pembelian barangan AS tetapi tidak mengulas lanjut.
Perkembangan itu berlaku beberapa bulan selepas ketegangan antara AS dan China meningkat, mencetuskan kebimbangan perang perdagangan akan berlaku.
Trump telah berulang kali mengecam defisit perdagangan antara negaranya dengan China, menyifatkan ia sebagai berbahaya kepada keselamatan AS dan mengancam akan mengenakan tarif bernilai berbilion-bilion dolar terhadap barangan China.
Cukai import berjumlah AS$50 bilion (RM198.6 bilion) itu sepatutnya dikuatkuasakan seawal minggu depan sekiranya rundingan itu gagal.
Rundingan di Washington itu diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin dan He yang menemui Trump pada Khamis lalu. – AFP











